Saturday 10 May 2014

YANG ABADI DAN ABDI DALAM SASTERA NUSANTARA





SIRI KULIAH PERBANDINGAN SASTERA MASTERA



Shaharuddin Maaruf. 2014. Yang Abadi dan Abdi Dalam Sastera Nusantara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka







PENGENALAN

Alhamdulillah, kuliah-kuliah berikut yang telah saya sampaikan sebahagian dari Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan Mastera  kini diterbitkan juga, setelah sebegitu lama tergendala. Akan sebab-musabab mengapa penerbitannya tertangguh itu, saya kurang periksa dan tiada pula saya dimaklumkan.
       Kuliah-kuliah ini, seperti lazimnya dalam siri Mastera, telah saya sampaikan di keempat-empat negara kerabat Mastera, yaitu di Kuala Lumpur (di Universiti Malaya anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dan Universiti Malaya), di Pusat Bahasa, Manado, (anjuran Majlis Bahasa Indonesia), di Bandar Seri Begawan (anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam), termasuk juga di Universiti Teknologi Singapura (anjuran bersama Majlis Bahasa Singapura, sebagai pemerhati dalam Mastera, dan Universiti Teknologi Singapura).
       Bahan-bahan kuliah adalah berdasarkan tulisan-tulisan dan penerbitan saya yang terdahulu. Kuliah 1 dan 3 saya tarik dari buku Malay Ideas on Development, From Feudal Lord to Capitalist (1987) yang telah diterjemahkan sebagai buku berjudul Idea Melayu Tentang Pembangunan (2014). Kuliah 2 adalah berdasarkan buku saya berjudul Malay Concept of a Hero (1984), yang telah diterjemahkan sebagai Konsep Wira dalam Masyarakat Melayu (1993).  Kuliah 4 adalah berdasarkan penerbitan saya berjudul ‘Malay Literature as Social History’ dan Kuliah 5 merupakan sebahagian daripada rencana saya berjudul ‘Melayu  Aib dan Melayu Ghaib’. 
      Bentuk dan nada kuliah-kuliah yang  terkandung dalam buku ini membayangkan pandangan dan pendekatan tertentu tentang kesusasteraan Melayu. Bahan-bahan kuliah dicoraki kepercayaan bahawa kesusasteraan Melayu mencerminkan nilai dan pandangan hidup orang Melayu, peredaran dan pergolakannya dalam sejarah kebudayaan Melayu. Dalam aliran sejarah kebudayaan itu, yang terakam dalam kesusasteraannya, kita dapat melihat dan mengkaji kuasa-kuasa sosial yang telah mewarnai dan menentukan weltanschauung orang Melayu dari dahulu hingga ke hari ini. Kita dapat melihat permainan dan percaturan idea-idea dan nilai-nilai yang telah mempengaruhi pemikiran dan jiwa orang Melayu itu  sendiri.
       Justeru pendekatan kuliah-kuliah terhadap kritikan sastera (literary criticism) dapatlah dikatakan pendekatan sejarah idea-idea (history of ideas), sejarah kebudayaan (cultural history) dan sejarah sosial (social l history). Saya mengaku saya kurang minat terhadap kajian sastera yang semata-mata tertumpu kepada soal bahasa, gaya penulisan atau bentuk (genre) yang terpisah daripada analisis pemikiran, nilai-nilai dan pandangan hidup yang mengilhamkan sesuatu karya itu.
         Dalam Kuliah 1, saya cuba mengkaji jiwa, nilai-nilai dan pandangan hidup masyarakat Melayu tradisional (feudal) yang terkandung dalam karya agung Sejarah Melayu ( judul asalnya Sulalatus Salatin). Memahami pandangan hidup yang terakam dalam teks ini membantu kita memahami juga keadaan-keadaan sosio-sejarah yang telah membentuk jiwa dan kebudayaan Melayu baik pada zaman lampau, mahupun sehingga ke hari ini.
        Dalam Kuliah 2, renungan tertumpu kepada satu lagi karya agung dalam kesusasteraan Melayu, yakni Hikayat Hang Tuah.  Menerusi konsep wira dalam teks tersebut, saya melihat hubungan antara sistem nilai, pandangan hidup dan struktur masyarakat yang mendukung teks tersebut. Dengan pendekatan ini dapat kita melihat betapa pemikiran, penilaian dan pandangan hidup sesebuah masyarakat dan susunan masyarakatnya itu saling berkaitan dan saling mempengaruhi. Inilah yang mendorong kita tidak putus-putus mengatakan sastera adalah cerminan masyarakat yang mengilhaminya.
      Kuliah 3 melihat bagaimana sastera dengan peka sekali mencerminkan anjakan-anjakan keadaan masyarakatnya. Justeru itu, kita melihat juga bagaimana sesungguhnya sastera mendukung pergolakan, respons, perasaan dan hasrat sesebuah masyarakat itu. Kuliah ini merenungi karya dan penciptaan Rahim Kajai dan Ishak Hj Muhammad sebagai cetusan pemikiran, pengkaryaan dan perasaan terhadap perubahan yang dibawa penjajahan dan kapitalisme. Jelas terbayang bentuk sastera dan peranannya yang diajukan mereka mencerminkan keadaan sosio-sejarah yang jauh berbeza dari yang mencoraki Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.
      Kuliah 4 berganjak kepada satu aliran atau bentuk sastera yang lain lagi pula, namun yang tidak kurang berpengaruh ke atas minda dan kerohanian orang Melayu. Kuliah cuba menghayati penilaian dan pandangan hidup yang menjiwai teks Tajus Salatin. Buat membantu analisis dan renungan, saya ajukan satu kategori atau aliran pemikiran yang saya istilahkan ‘kemanusiaan Melayu’. Dengan pengungkapan ini, kita dapat mengenal pasti satu lagi sistem nilai dan pandangan hidup yang turut bersaing dalam arena idea-idea dan nilai-nilai demi mencoraki jiwa dan weltanschauung orang Melayu dalam peredaran masa atau sejarah.
     Kuliah 5 beralis tumpuan kepada satu persoalan metodologi dan ideologi dalam pengajian Melayu, justeru berhubung rapat juga dengan bidang kesusasteraan Melayu. Dalam kuliah ini dan batasannya,  saya berkesempatan hanya sekadar menyentuh sekilas   satu gejala yang penting bagi pengajian Melayu, termasuk kajian sastera Melayu. Saya maksudkan aliran pemikiran neo-kolonial dan sifat-sifatnya. Kepentingan kuliah ini terletak kepada satu hakikat: kegagalan mengenal pasti pemikiran neo-kolonial dan pengaruhnya ke atas pengajian Melayu, termasuk dalam bidang sastera, akan memesongkan pemikiran dan jati-diri orang Melayu, serta membantutkan usaha mereka memahami sejarah kebudayaan dan jati diri mereka dengan matang dan mendalam.

       Satu tema besar mengikat kelima-lima kuliah Mastera di atas. Dalam percaturan atau saingan idea-idea, nilai-nilai serta kepentingan-kepentingan di sebalik sesuatu aliran pemikiran dan pandangan hidup itu, apakah unsur-unsur yang memperkayakan kebudayaan dan insan Melayu? Bagaimana permainan dan pergolakan antara unsur-unsur budaya, termasuk aliran-aliran sasteranya, demi membentuk insan Melayu? Apakah unsur-unsur yang memupuk keperibadian sepanjang zaman,  dan yang mana pula membantutkan? Dalam maksud lain, kuliah-kuliah ini merenungi persoalan nilai sehubungan yang Abadi dan Abdi dalam kesusasteraan Melayu Nusantara.

Shaharuddin Maaruf 
Disember 2013

No comments:

Post a Comment