Friday 9 May 2014

IDEA MELAYU TENTANG PEMBANGUNAN


Shaharuddin Maaruf. 2014. Idea Melayu Tentang Pembangunan. Kuala Lumpur: Penerbitan PKKM Universiti Malaya


‘Daripada mula lagi, saya telah berusaha untuk menerbitkan buku ini dalam bahasa Malaysia. Ketika menulis, buku ini sememangnya saya tujukan kepada masyarakat Melayu atas keyakinan perbahasan tentang pembangunan itu  berkaitan rapat dengan nasib dan kesejahteraan masyarakat Melayu sendiri. Namun, usaha saya sentiasa pasrah sepanjang dua dekad setengah ini. Saya menghubungi penerbit-penerbit utama dalam bahasa Malaysia tanpa berhasil. Ini meyakinkan saya bahawa masalah penerbitan itu kurang berpunca daripada isi buku, tetapi lebih daripada keadaan dan suasana budaya intelektual masyarakat Melayu serta cita-rasa dan kepekaannya tersendiri. Niat saya di sini bukan untuk menyalahkan penerbit-penerbit berkenaan tetapi cuma menjelaskan kelambatan buku in muncul..
Peredaran masa mengubah pengertian sesebuah buku. Semasa penulisannya, buku ini didorong hasrat menyumbang serba sedikit kepada perbahasan yang sedang berlangsung dengan hebat pada dekad 70-an dan 80-an dalam masyarakat Melayu ketika itu, tentang pembangunan, nasionalisme, jati diri, Islam dan sebagainya. Justeru, liputan buku ini berakhir setakat era berkenaan.
 Kini buku edisi bahasa Malaysia ini muncul ketika era penulisannya telah berakhir secara formal. Justeru, pengertian buku telah berubah menjadi satu rakaman etos dan suasana masyarakat Melayu ketika itu. Buku berdiri sebagai saksi tentang pergolakan idea yang telah berlangsung dan sejauh mana relevan pengamatannya. Lembaran DEB kini diganti pula dengan apa yang dianjurkan sebagai ‘liberalisme’. Sejauh mana analisis buku ini masih relevan tentang lembaran ‘liberalisme’ ini , hanya masa yang dapat menentukannya kelak’
Dari Prakata pengarang


'Buku ini—yang asalnya diterbitkan pada tahun 1988, dan baru kini muncul dalam bahasa Melayu – sewajarnya diiktiraf sebagai sebuah klasik. Ia merupakan satu kajian perintis bersifat sejarah idea dalam konteks masyarakat Melayu—satu pengamatan pemikiran Melayu tentang ‘pembangunan’, meliputi zaman prapenjajahan sehingga era ne-gara moden pascamerdeka.
Shaharuddin Maaruf sememangnya layak melaksanakan projek demikian. Fasih tentang karya-karya de Tocqueville, Burckhardt, Weber, Huizinga, Mannheim dan lain-lain, beliau juga seorang anak murid Syed Hussein Alatas, seorang sarjana tempatan yang diberi pengiktirafan tertinggi di peringkat antarabangsa. Alatas mempenga-ruhi satu generasi ahli sains sosial yang unggul, termasuk Chandra Muzaffar dan Sharon Siddique, juga Shaharuddin.'
'Penggarapan luas ke atas sejarah idea politik Melayu yang terkandung dalam buku Malay Ideas on Development From Feudal Lord to Capitalist versi bahasa Malayu ini—satu penggarapan yang tercapai dengan kemahiran mengana-lisis serta kejernihan—akan merangsang pembaca baru mencari kajian lebih perinci tentang seseorang penulis yang dijadikan sasaran atau yang lain pula. Merangsang keinginan sedemikian merupakan satu ukuran keberkesanan buku ini. Mempertentangkan seseo-rang pemikir dengan yang lain, meletakkan perbahasan moden dalam konteks pemikiran politik tradisional, mengolah kategori-kategori a-tau aliran-aliran pemikiran politik—‘nasionalisme kapitalistik’, ‘nasionalisme tradisional’ dan sebagai-nya—merupakan cara terbaik memupuk minat lebih mendalam terhadap sejarah pemikiran politik Melayu, dan bukan dengan usaha akademik semata-mata. Shaharuddin Maaruf merupakan salah seorang daripada sekumpulan kecil sarjana perintis yang karyanya dapat memperkayakan mutu perbahasan politik Malaysia pada hari ini.' - Dari Pengantar Anthony Milner




2 comments:

  1. dimanakah saya boleh membeli buku ini?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya ada menjualnya. Boleh whatsapp 0139887800

      Delete