SIRI KULIAH PERBANDINGAN SASTERA MASTERA
Shaharuddin Maaruf. 2014. Yang Abadi dan Abdi Dalam Sastera Nusantara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
PENGENALAN
Alhamdulillah, kuliah-kuliah berikut yang telah saya sampaikan sebahagian
dari Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan Mastera kini diterbitkan juga, setelah sebegitu lama
tergendala. Akan sebab-musabab mengapa penerbitannya tertangguh itu, saya kurang
periksa dan tiada pula saya dimaklumkan.
Kuliah-kuliah ini, seperti
lazimnya dalam siri Mastera, telah saya sampaikan di keempat-empat negara
kerabat Mastera, yaitu di Kuala Lumpur (di Universiti Malaya anjuran bersama
Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dan Universiti Malaya), di Pusat Bahasa, Manado,
(anjuran Majlis Bahasa Indonesia), di Bandar Seri Begawan (anjuran Dewan Bahasa
dan Pustaka Brunei Darussalam), termasuk juga di Universiti Teknologi Singapura
(anjuran bersama Majlis Bahasa Singapura, sebagai pemerhati dalam Mastera, dan
Universiti Teknologi Singapura).
Bahan-bahan kuliah adalah
berdasarkan tulisan-tulisan dan penerbitan saya yang terdahulu. Kuliah 1 dan 3
saya tarik dari buku Malay Ideas on
Development, From Feudal Lord to Capitalist (1987) yang telah diterjemahkan
sebagai buku berjudul Idea Melayu Tentang
Pembangunan (2014). Kuliah 2 adalah berdasarkan buku saya berjudul Malay Concept of a Hero (1984), yang
telah diterjemahkan sebagai Konsep Wira
dalam Masyarakat Melayu (1993).
Kuliah 4 adalah berdasarkan penerbitan saya berjudul ‘Malay Literature
as Social History’ dan Kuliah 5 merupakan sebahagian daripada rencana saya
berjudul ‘Melayu Aib dan Melayu
Ghaib’.
Bentuk dan nada kuliah-kuliah
yang terkandung dalam buku ini
membayangkan pandangan dan pendekatan tertentu tentang kesusasteraan Melayu.
Bahan-bahan kuliah dicoraki kepercayaan bahawa kesusasteraan Melayu
mencerminkan nilai dan pandangan hidup orang Melayu, peredaran dan
pergolakannya dalam sejarah kebudayaan Melayu. Dalam aliran sejarah kebudayaan itu,
yang terakam dalam kesusasteraannya, kita dapat melihat dan mengkaji
kuasa-kuasa sosial yang telah mewarnai dan menentukan weltanschauung orang Melayu dari dahulu hingga ke hari ini. Kita
dapat melihat permainan dan percaturan idea-idea dan nilai-nilai yang telah
mempengaruhi pemikiran dan jiwa orang Melayu itu sendiri.
Justeru pendekatan
kuliah-kuliah terhadap kritikan sastera (literary criticism) dapatlah dikatakan
pendekatan sejarah idea-idea (history of ideas), sejarah kebudayaan (cultural
history) dan sejarah sosial (social l history). Saya mengaku saya kurang minat
terhadap kajian sastera yang semata-mata tertumpu kepada soal bahasa, gaya
penulisan atau bentuk (genre) yang terpisah daripada analisis pemikiran,
nilai-nilai dan pandangan hidup yang mengilhamkan sesuatu karya itu.
Dalam Kuliah 1, saya cuba
mengkaji jiwa, nilai-nilai dan pandangan hidup masyarakat Melayu tradisional
(feudal) yang terkandung dalam karya agung Sejarah
Melayu ( judul asalnya Sulalatus
Salatin). Memahami pandangan hidup yang terakam dalam teks ini membantu
kita memahami juga keadaan-keadaan sosio-sejarah yang telah membentuk jiwa dan
kebudayaan Melayu baik pada zaman lampau, mahupun sehingga ke hari ini.
Dalam Kuliah 2, renungan
tertumpu kepada satu lagi karya agung dalam kesusasteraan Melayu, yakni Hikayat Hang Tuah. Menerusi konsep wira dalam teks tersebut,
saya melihat hubungan antara sistem nilai, pandangan hidup dan struktur
masyarakat yang mendukung teks tersebut. Dengan pendekatan ini dapat kita
melihat betapa pemikiran, penilaian dan pandangan hidup sesebuah masyarakat dan
susunan masyarakatnya itu saling berkaitan dan saling mempengaruhi. Inilah yang
mendorong kita tidak putus-putus mengatakan sastera adalah cerminan masyarakat
yang mengilhaminya.
Kuliah 3 melihat bagaimana
sastera dengan peka sekali mencerminkan anjakan-anjakan keadaan masyarakatnya.
Justeru itu, kita melihat juga bagaimana sesungguhnya sastera mendukung
pergolakan, respons, perasaan dan hasrat sesebuah masyarakat itu. Kuliah ini
merenungi karya dan penciptaan Rahim Kajai dan Ishak Hj Muhammad sebagai
cetusan pemikiran, pengkaryaan dan perasaan terhadap perubahan yang dibawa
penjajahan dan kapitalisme. Jelas terbayang bentuk sastera dan peranannya yang diajukan
mereka mencerminkan keadaan sosio-sejarah yang jauh berbeza dari yang mencoraki
Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.
Kuliah 4 berganjak kepada satu
aliran atau bentuk sastera yang lain lagi pula, namun yang tidak kurang
berpengaruh ke atas minda dan kerohanian orang Melayu. Kuliah cuba menghayati
penilaian dan pandangan hidup yang menjiwai teks Tajus Salatin. Buat membantu analisis dan renungan, saya ajukan
satu kategori atau aliran pemikiran yang saya istilahkan ‘kemanusiaan Melayu’.
Dengan pengungkapan ini, kita dapat mengenal pasti satu lagi sistem nilai dan
pandangan hidup yang turut bersaing dalam arena idea-idea dan nilai-nilai demi
mencoraki jiwa dan weltanschauung
orang Melayu dalam peredaran masa atau sejarah.
Kuliah 5 beralis tumpuan kepada satu
persoalan metodologi dan ideologi dalam pengajian Melayu, justeru berhubung
rapat juga dengan bidang kesusasteraan Melayu. Dalam kuliah ini dan
batasannya, saya berkesempatan hanya
sekadar menyentuh sekilas satu gejala
yang penting bagi pengajian Melayu, termasuk kajian sastera Melayu. Saya
maksudkan aliran pemikiran neo-kolonial
dan sifat-sifatnya. Kepentingan kuliah ini terletak kepada satu hakikat:
kegagalan mengenal pasti pemikiran neo-kolonial dan pengaruhnya ke atas
pengajian Melayu, termasuk dalam bidang sastera, akan memesongkan pemikiran dan
jati-diri orang Melayu, serta membantutkan usaha mereka memahami sejarah
kebudayaan dan jati diri mereka dengan matang dan mendalam.
Satu tema besar mengikat
kelima-lima kuliah Mastera di atas. Dalam percaturan atau saingan idea-idea,
nilai-nilai serta kepentingan-kepentingan di sebalik sesuatu aliran pemikiran
dan pandangan hidup itu, apakah unsur-unsur yang memperkayakan kebudayaan dan
insan Melayu? Bagaimana permainan dan pergolakan antara unsur-unsur budaya,
termasuk aliran-aliran sasteranya, demi membentuk insan Melayu? Apakah
unsur-unsur yang memupuk keperibadian sepanjang zaman, dan yang mana pula membantutkan? Dalam maksud
lain, kuliah-kuliah ini merenungi persoalan nilai sehubungan yang Abadi dan
Abdi dalam kesusasteraan Melayu Nusantara.
Shaharuddin Maaruf
Disember 2013