Saturday 27 September 2014

Berkongsi renungan peribadi / sharing some personal reflection


Shaharuddin Maaruf, Konsep Wira Dalam Masyarakat Melayu, Membelai Romantisme Dekaden (Edisi Baru), Strategic Information Research Development Centre, Petaling Jaya, 2014


Persoalan kepimpinan sesungguhnya asasi bagi kemajuan sesebuah masyarakat. Justeru, konsepsinya apa itu keperwiraan atau heroic adalah signifikan, dalam pengertian ia mencoraki sebahagiannya  pola motivasi mereka yang terlibat. Pengarang buku ini berusaha mengkaji konsepsi wira sebagai yang dipamirkan golongan pemerintah. Ia menjejaki hubungannya dengan berbagai peristiwa penting dalam sejarah Melayu buat menunjukkan kepentingan temanya…Mereka yang kurang bersetuju dengan beberapa kenyataan dalam buku ini seharusnya sanggup menolaknya secara logik dan tersusun. Namun apa jua sambutannya, yang pasti, cara pengarang mengolah persoalan menyajikan satu pembacaan yang menarik. Setiap orang yang berhasrat mendalami lagi pengertiannya tentang masyarakat Melayu tidak mampu mengabaikan buku ini.

                                                                    Dari Pengantar Syed Hussein Alatas

Buku ini sebenarnya adalah lebih tentang pemuja wira dari tentang wira. Ia mengkaji tokoh-tokoh hanya sekadar mereka itu mencerminkan nilai-nilai dan idealisme pemuja-pemuja mereka sendiri. Tumpuan buku bukanlah untuk meleraikan perbahasan tokoh-tokoh mana yang sepatutnya dinobatkan sebagai wira-wira Melayu, baik Hang Tuah atau pun Hang Jebat sekali pun. Persoalan bagi buku ini tetap terutamanya tertumpu kepada pengamatan nilai-nilai dan idealisme Melayu, kesedaran jati diri dan budaya. Buku menyelidik kuasa-kuasa sosial yang telah membina dan mencoraki nilai-nilai dan idealisme tersebut, seperti tercermin dalam dinamika dan ideologi kumpulan, jua kepentingan-kepentingan terpendam mereka yang terlibat.

                                                                     Dari Prakata  Shaharuddin Maaruf


Saturday 10 May 2014

KONSEP WIRA DALAM MASYARAKAT MELAYU



Shaharuddin Maaruf. 1993. Konsep Wira Dalam Masyarakat Melayu. Singapura: Pustaka Nasional

Nota pengarang: Manuskrip asal buku ini telah siap pada tahun 1979. Ianya telah diterbitkan pertama kalinya pada tahun 1984 dalam edisi Inggeris berjudul Concept of A Hero in Malay Society, penerbitan Eastern Universities Press, Kuala Lumpur. Buku ini membawa pengantar oleh Syed Hussein Alatas, yang juga diterbitkan dalam Konsep Wira Dalam Masyarakat Melayu edisi 1993 di atas.

' Pengarang buku ini cuba mengkaji konsep wira yang dianjurkan oleh golongan pemerintah...Pembaca sesunggohnya akan bermanfaat dari buku ini. Mereka akan lebih memahami politik dan kehidupan budaya orang Melayu. Ini merupakan usaha julung-julung kali mengkaji kosep wira dalam masyarakat Melayu.…cara pengarang mengolah persoalan membuat pembacaan sangat menarik. Sesiapa yang berhasrat meningkatkan kefahamannya akan masyarakat Melayu tidak mampu mengabaikan buku ini'-Dari pengantar Syed Hussein Alatas,1984, 1993

YANG ABADI DAN ABDI DALAM SASTERA NUSANTARA





SIRI KULIAH PERBANDINGAN SASTERA MASTERA



Shaharuddin Maaruf. 2014. Yang Abadi dan Abdi Dalam Sastera Nusantara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka







PENGENALAN

Alhamdulillah, kuliah-kuliah berikut yang telah saya sampaikan sebahagian dari Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan Mastera  kini diterbitkan juga, setelah sebegitu lama tergendala. Akan sebab-musabab mengapa penerbitannya tertangguh itu, saya kurang periksa dan tiada pula saya dimaklumkan.
       Kuliah-kuliah ini, seperti lazimnya dalam siri Mastera, telah saya sampaikan di keempat-empat negara kerabat Mastera, yaitu di Kuala Lumpur (di Universiti Malaya anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dan Universiti Malaya), di Pusat Bahasa, Manado, (anjuran Majlis Bahasa Indonesia), di Bandar Seri Begawan (anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam), termasuk juga di Universiti Teknologi Singapura (anjuran bersama Majlis Bahasa Singapura, sebagai pemerhati dalam Mastera, dan Universiti Teknologi Singapura).
       Bahan-bahan kuliah adalah berdasarkan tulisan-tulisan dan penerbitan saya yang terdahulu. Kuliah 1 dan 3 saya tarik dari buku Malay Ideas on Development, From Feudal Lord to Capitalist (1987) yang telah diterjemahkan sebagai buku berjudul Idea Melayu Tentang Pembangunan (2014). Kuliah 2 adalah berdasarkan buku saya berjudul Malay Concept of a Hero (1984), yang telah diterjemahkan sebagai Konsep Wira dalam Masyarakat Melayu (1993).  Kuliah 4 adalah berdasarkan penerbitan saya berjudul ‘Malay Literature as Social History’ dan Kuliah 5 merupakan sebahagian daripada rencana saya berjudul ‘Melayu  Aib dan Melayu Ghaib’. 
      Bentuk dan nada kuliah-kuliah yang  terkandung dalam buku ini membayangkan pandangan dan pendekatan tertentu tentang kesusasteraan Melayu. Bahan-bahan kuliah dicoraki kepercayaan bahawa kesusasteraan Melayu mencerminkan nilai dan pandangan hidup orang Melayu, peredaran dan pergolakannya dalam sejarah kebudayaan Melayu. Dalam aliran sejarah kebudayaan itu, yang terakam dalam kesusasteraannya, kita dapat melihat dan mengkaji kuasa-kuasa sosial yang telah mewarnai dan menentukan weltanschauung orang Melayu dari dahulu hingga ke hari ini. Kita dapat melihat permainan dan percaturan idea-idea dan nilai-nilai yang telah mempengaruhi pemikiran dan jiwa orang Melayu itu  sendiri.
       Justeru pendekatan kuliah-kuliah terhadap kritikan sastera (literary criticism) dapatlah dikatakan pendekatan sejarah idea-idea (history of ideas), sejarah kebudayaan (cultural history) dan sejarah sosial (social l history). Saya mengaku saya kurang minat terhadap kajian sastera yang semata-mata tertumpu kepada soal bahasa, gaya penulisan atau bentuk (genre) yang terpisah daripada analisis pemikiran, nilai-nilai dan pandangan hidup yang mengilhamkan sesuatu karya itu.
         Dalam Kuliah 1, saya cuba mengkaji jiwa, nilai-nilai dan pandangan hidup masyarakat Melayu tradisional (feudal) yang terkandung dalam karya agung Sejarah Melayu ( judul asalnya Sulalatus Salatin). Memahami pandangan hidup yang terakam dalam teks ini membantu kita memahami juga keadaan-keadaan sosio-sejarah yang telah membentuk jiwa dan kebudayaan Melayu baik pada zaman lampau, mahupun sehingga ke hari ini.
        Dalam Kuliah 2, renungan tertumpu kepada satu lagi karya agung dalam kesusasteraan Melayu, yakni Hikayat Hang Tuah.  Menerusi konsep wira dalam teks tersebut, saya melihat hubungan antara sistem nilai, pandangan hidup dan struktur masyarakat yang mendukung teks tersebut. Dengan pendekatan ini dapat kita melihat betapa pemikiran, penilaian dan pandangan hidup sesebuah masyarakat dan susunan masyarakatnya itu saling berkaitan dan saling mempengaruhi. Inilah yang mendorong kita tidak putus-putus mengatakan sastera adalah cerminan masyarakat yang mengilhaminya.
      Kuliah 3 melihat bagaimana sastera dengan peka sekali mencerminkan anjakan-anjakan keadaan masyarakatnya. Justeru itu, kita melihat juga bagaimana sesungguhnya sastera mendukung pergolakan, respons, perasaan dan hasrat sesebuah masyarakat itu. Kuliah ini merenungi karya dan penciptaan Rahim Kajai dan Ishak Hj Muhammad sebagai cetusan pemikiran, pengkaryaan dan perasaan terhadap perubahan yang dibawa penjajahan dan kapitalisme. Jelas terbayang bentuk sastera dan peranannya yang diajukan mereka mencerminkan keadaan sosio-sejarah yang jauh berbeza dari yang mencoraki Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.
      Kuliah 4 berganjak kepada satu aliran atau bentuk sastera yang lain lagi pula, namun yang tidak kurang berpengaruh ke atas minda dan kerohanian orang Melayu. Kuliah cuba menghayati penilaian dan pandangan hidup yang menjiwai teks Tajus Salatin. Buat membantu analisis dan renungan, saya ajukan satu kategori atau aliran pemikiran yang saya istilahkan ‘kemanusiaan Melayu’. Dengan pengungkapan ini, kita dapat mengenal pasti satu lagi sistem nilai dan pandangan hidup yang turut bersaing dalam arena idea-idea dan nilai-nilai demi mencoraki jiwa dan weltanschauung orang Melayu dalam peredaran masa atau sejarah.
     Kuliah 5 beralis tumpuan kepada satu persoalan metodologi dan ideologi dalam pengajian Melayu, justeru berhubung rapat juga dengan bidang kesusasteraan Melayu. Dalam kuliah ini dan batasannya,  saya berkesempatan hanya sekadar menyentuh sekilas   satu gejala yang penting bagi pengajian Melayu, termasuk kajian sastera Melayu. Saya maksudkan aliran pemikiran neo-kolonial dan sifat-sifatnya. Kepentingan kuliah ini terletak kepada satu hakikat: kegagalan mengenal pasti pemikiran neo-kolonial dan pengaruhnya ke atas pengajian Melayu, termasuk dalam bidang sastera, akan memesongkan pemikiran dan jati-diri orang Melayu, serta membantutkan usaha mereka memahami sejarah kebudayaan dan jati diri mereka dengan matang dan mendalam.

       Satu tema besar mengikat kelima-lima kuliah Mastera di atas. Dalam percaturan atau saingan idea-idea, nilai-nilai serta kepentingan-kepentingan di sebalik sesuatu aliran pemikiran dan pandangan hidup itu, apakah unsur-unsur yang memperkayakan kebudayaan dan insan Melayu? Bagaimana permainan dan pergolakan antara unsur-unsur budaya, termasuk aliran-aliran sasteranya, demi membentuk insan Melayu? Apakah unsur-unsur yang memupuk keperibadian sepanjang zaman,  dan yang mana pula membantutkan? Dalam maksud lain, kuliah-kuliah ini merenungi persoalan nilai sehubungan yang Abadi dan Abdi dalam kesusasteraan Melayu Nusantara.

Shaharuddin Maaruf 
Disember 2013

Friday 9 May 2014

IDEA MELAYU TENTANG PEMBANGUNAN


Shaharuddin Maaruf. 2014. Idea Melayu Tentang Pembangunan. Kuala Lumpur: Penerbitan PKKM Universiti Malaya


‘Daripada mula lagi, saya telah berusaha untuk menerbitkan buku ini dalam bahasa Malaysia. Ketika menulis, buku ini sememangnya saya tujukan kepada masyarakat Melayu atas keyakinan perbahasan tentang pembangunan itu  berkaitan rapat dengan nasib dan kesejahteraan masyarakat Melayu sendiri. Namun, usaha saya sentiasa pasrah sepanjang dua dekad setengah ini. Saya menghubungi penerbit-penerbit utama dalam bahasa Malaysia tanpa berhasil. Ini meyakinkan saya bahawa masalah penerbitan itu kurang berpunca daripada isi buku, tetapi lebih daripada keadaan dan suasana budaya intelektual masyarakat Melayu serta cita-rasa dan kepekaannya tersendiri. Niat saya di sini bukan untuk menyalahkan penerbit-penerbit berkenaan tetapi cuma menjelaskan kelambatan buku in muncul..
Peredaran masa mengubah pengertian sesebuah buku. Semasa penulisannya, buku ini didorong hasrat menyumbang serba sedikit kepada perbahasan yang sedang berlangsung dengan hebat pada dekad 70-an dan 80-an dalam masyarakat Melayu ketika itu, tentang pembangunan, nasionalisme, jati diri, Islam dan sebagainya. Justeru, liputan buku ini berakhir setakat era berkenaan.
 Kini buku edisi bahasa Malaysia ini muncul ketika era penulisannya telah berakhir secara formal. Justeru, pengertian buku telah berubah menjadi satu rakaman etos dan suasana masyarakat Melayu ketika itu. Buku berdiri sebagai saksi tentang pergolakan idea yang telah berlangsung dan sejauh mana relevan pengamatannya. Lembaran DEB kini diganti pula dengan apa yang dianjurkan sebagai ‘liberalisme’. Sejauh mana analisis buku ini masih relevan tentang lembaran ‘liberalisme’ ini , hanya masa yang dapat menentukannya kelak’
Dari Prakata pengarang


'Buku ini—yang asalnya diterbitkan pada tahun 1988, dan baru kini muncul dalam bahasa Melayu – sewajarnya diiktiraf sebagai sebuah klasik. Ia merupakan satu kajian perintis bersifat sejarah idea dalam konteks masyarakat Melayu—satu pengamatan pemikiran Melayu tentang ‘pembangunan’, meliputi zaman prapenjajahan sehingga era ne-gara moden pascamerdeka.
Shaharuddin Maaruf sememangnya layak melaksanakan projek demikian. Fasih tentang karya-karya de Tocqueville, Burckhardt, Weber, Huizinga, Mannheim dan lain-lain, beliau juga seorang anak murid Syed Hussein Alatas, seorang sarjana tempatan yang diberi pengiktirafan tertinggi di peringkat antarabangsa. Alatas mempenga-ruhi satu generasi ahli sains sosial yang unggul, termasuk Chandra Muzaffar dan Sharon Siddique, juga Shaharuddin.'
'Penggarapan luas ke atas sejarah idea politik Melayu yang terkandung dalam buku Malay Ideas on Development From Feudal Lord to Capitalist versi bahasa Malayu ini—satu penggarapan yang tercapai dengan kemahiran mengana-lisis serta kejernihan—akan merangsang pembaca baru mencari kajian lebih perinci tentang seseorang penulis yang dijadikan sasaran atau yang lain pula. Merangsang keinginan sedemikian merupakan satu ukuran keberkesanan buku ini. Mempertentangkan seseo-rang pemikir dengan yang lain, meletakkan perbahasan moden dalam konteks pemikiran politik tradisional, mengolah kategori-kategori a-tau aliran-aliran pemikiran politik—‘nasionalisme kapitalistik’, ‘nasionalisme tradisional’ dan sebagai-nya—merupakan cara terbaik memupuk minat lebih mendalam terhadap sejarah pemikiran politik Melayu, dan bukan dengan usaha akademik semata-mata. Shaharuddin Maaruf merupakan salah seorang daripada sekumpulan kecil sarjana perintis yang karyanya dapat memperkayakan mutu perbahasan politik Malaysia pada hari ini.' - Dari Pengantar Anthony Milner